Assalamualaikum,
Sambungan dari Kisah Lelaki Tua Berkain Pelikat Siri 3
Selepas Jumaat, tatkala ramai jemaah bergegas pulang, saya duduk bersandar di dinding. Pada masa ini hamparan kain sumbangan sedekah dibuka. Duit kutipan dilonggok dan dibilang kira. Nyata banyak RM1, kadang-kadang RM5, jarang-jarang RM10 dan sekali-sekala ada not RM50.
Belakang saya ditepuk. Saya berpaling dan nyata ia Lelaki Tua Berkain pelikat yang namanya telah gah disebut ramai di alam maya.
"Belum balik", dia berkata sambil melabuh duduk di tepi saya. Tangannya menunjukkan pada kiraan duit yang diterima. "Alhamdulillah, masih ada tangan di atas yang mahu memberi.
Inilah pentingnya ekonomi. Kita ada upaya menyumbang. Kita ada rasa mahu berkongsi. Tanpa ada rasa seumpama ini, hancurlah masyarakat kita". Demikianlah Lelaki Tua itu mula berkata.
Saya senyum. Membenarkan beliau terus berkata-kata. Saya notakan dalam angka untuk memudahkan kita menangguk hasil dari buah bicara kebijaksanaan Lelaki Tua ini.
31. Hidup dengan acuan Allah. Terikat dengan Allah dalam setiap gerak dan geri. Baca AlQuran. Akhlak Rasulullah SAW itu ada dalam AlQuran. Pada masa ini dia bacakan ayat AlQuran surah Al Syams ayat 9-10.
* Saya balik lihat terjemahannya: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwanya dan sangat malang orang-orang yang mengotori jiwanya"
32. Hati kita mesti diisi dengan ketabahan. Tabah itu mendorong hati kita meneruskan perjalanan. Apabila kita kata kita beriman kepada Allah kita mesti berani. Usah jadi hati tikus. Penakut dan pengecut. Berdecit sepanjang masa.
Manusia akan jadi pengecut, pertama apabila mereka percaya ada kuasa lain dari Allah yang boleh mematikan kita. Orang tua dahulu kata, "berpantang ajal sebelum mati". Maksudnya mati kita hanya di tangan Allah SWT.
Kedua, kita takut apabila kita cintai diri, harta, keluarga lebih dari cinta kepada Allah. Kita mesti ada rasa mahu temui Pencipta di akhirat nanti. Apabila ada rasa sedemikian rupa, semua yang lain menjadi indah pada penghidupan sementara ini.
* Pada saat ini terdetik hati saya walikah Lelaki Tua ini? Cepat dia tersenyum dan berkata, "kenapa pandang Pakcik sedemikian rupa? Pakcik hanya orang biasa yang menyerah bulat pada Allah SWT. Itu sahaja anak".
33. Hidup ini perlu yakin. Perlu sentiasa nyalakan harapan. Kita bertuah ada Allah SWT. Apabila kita beriman pada Tuhan yang memilliki langit dan bumi, yang memiliki kurnia dan nikmat yang banyak dan melimpah ruah, segalanya jadi mudah.
Minta dengan Allah. Minta sungguh-sungguh. Minta banyak-banyak.
Perkara paling besar dalam hidup ini adalah menjadi orang tenang. Tenang apabila kita ada ketenteraman jiwa. Usah kejar kuasa anakku. Kuasa menjadikan kita huru-hara. Kuasa meletakkan kita di pinggir neraka. Berilah pada orang lain jadi ketua.
Hati kita jadi tenang. Jiwa jadi tenteram apabila kita ada aqidah tauhid. Iman kepada Allah itu yang bentuk kekuatan besar, nekad, berani dan tabah. Inilah yang orang panggil tawakkal.
34. Akal kita guna untuk tujuan kebaikan. Akal kita miliki untuk bawa keredhaan Allah. Akal adalah untuk pastikan hidayah Allah berkekalan. Manusia jadi mulia apabila sifat kemanusiaan kita sandarkan pada kekuatan pemikiran.
Tujuan akhir kita mahu jadi hamba Allah yang bersyukur. Caranya kita berterima kasih pada Allah. Abadikan diri dengan segala bentuk amal ibadat. Kita tinggalkan kerja-kerja maksiat. Kita jauhi perkara mudharat.
Usah tunggu orang lain lakukan kebaikan. Jadi diri sendiri. Kitalah satu-satu yang wajar memulai kebaikan. Kita pemula. Kita peneroka.
35. Untuk jadi hamba bersyukur mulakan dengan rezeki yang berkat. Mudah kita dapat keampunan dan rahmat Allah. Rezeki berkat hanya milik orang yang dapat redha Allah. Redha Allah hampiri kita apabila ada kejujuran dan keadilan dalam bisnes.
Fokus pada kerja. Sabar ikut proses. Tabah apabila ada dugaan. Terus melangkah. Usah rasa hina dengan perkataan manusia. Buang dari hati kita sifat dengki, tamak haloba, dendam, sombong, riak, takabbur. Usah ada lintasan itu. Bersihkan hati kita. Bersihkan hati anakku.
* Pada saat ini air mata Lelaki Tua mengalir tanpa henti. Lama dia teresak. Saya diam. saya mula faham hati Lelaki Tua berusia 70an. Mudah tersentuh. Rapuh.
Dia mengesat air mata dan berkata, "Pak Cik takut pada kematian. Pak Cik belum sampai pada tahap rindu untuk menemui Pencipta. Pak Cik masih jauh. Kurang bekalan untuk hari penantian yang panjang. Bagaimana nasib Pak Cik pada hari pengadilan."
36. Sementara masih ada usia, jadikan hari hari dalam kehidupan ini untuk menyeru pada kebenaran. Usahalah untuk cegah kemungkaran. Pada saat ini dia baca surah Ali Imran ayat 104.
* Saya balik buat semakan terjemahan: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka orang orang beruntung."
37. Perkara pertama dihisab dihari kiamat adalah solat. Tinggalkan segala urusan apabila sampai waktu solat. Sebab itu Pak Cik cuba sedaya upaya, dekatkan rumah dengan masjid.
Pak Cik tahu Rasulullah SAW kata, lebih afdal jauh dari masjid. Berjalan kaki ke masjid itu banyak pahalanya. Namun, Pak Cik rasa tak mampu. Apabila tak mampu jadi tak buat. Baik Pak Cik beli rumah dekat dengan masjid. Berjemaah.
Banyakkan berzikir. Ingat Allah SWT. Baca Al Quran. Bertaubat. Malaikat maut datang jengok kita 70 kali sehari. Kita tidak tahu bila masa dia mahu ambil nyawa kita.
38. Untuk berjaya, kena banyak bertanya. Itu kunci dapatkan ilmu. Anak, ingat manusia capai penghormatan dan kemuliaan di dunia dengan banyak cara.
Dia tunjuk ke arah satu tempat. Di hujung sana rumah Allahyarham Tan Sri xxxxxxx. Dia capai kemuliaan dengan pangkat dan kebesaran. Dia orang baik masa hayatnya.
Ada manusia mulia dan dikenang kebaikan dan kemurahan hati. Ada manusia mulia lantaran keturunannya. Namun, manusia paling mulia adalah manusia berilmu dan beramal dengan ilmunya.
Ada hadis sebut, "Sesiapa sahaja yang merintis jalan menuntut ilmu maka Allah membuka kepadanya jalan ke syurga."
* Saya semak hadis ini diriwayatkan oleh Muslim)
39. Dalam hidup ini, usah mengaku kalah. Sewaktu Pak Cik mula niaga dahulu akhir 60an , orang kata macam macam. Masa tu tidak ramai Melayu berniaga. Semua yang bisnes adalah Topek (Bahasa Kelantan untuk Cina). Apabila Pak Cik balik lewat malam, mereka gelar Pak Cik Topek.
Kesusahan itu proses kehidupan. Pada setiap kesusahan akan datang kemudahan. Usah kita persulitkan. Apabila Pak Cik datang jemaah subuh, ada yang sindir, "Awal Topek bangun". Pak Cik senyum.
Masa itu rumah Pak Cik kecil. Pak Cik azam dan nekad mahu rumah besar. Rumah tempat anak cucu dan keluarga berkumpul dalam suasana keagamaan. Alhamdulillah. Allah makbulkan apa yang diminta.
40. "Anak" kata Lelaki Tua itu sambil peluk saya. Dia pegang pada jantung hati saya. "Tidak masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong. Jangan sombong, anak."
Dia pegang jubah saya. Saya pakai jubah warna pink lembut. Lelaki Tua itu berkata, "Mahal Jubah anak ini. Beribukah harganya?. Kain ini mahal".
Saya jadi tidak tentu arah. Saya jawab, "Tidak Pak Cik. Mungkin bagi orang kaya raya jubah ini harganya RM800. Saya diberikan dengan harga yang kurang dari separuh harga jualan. Saya berkawan dengan orang besar Jakel". Saya benar benar rasa tidak tentu arah.
Pada detik ini Lelaki tua itu berkata, "Tidak mengapa. Ada wasiat Sayidina Ali, katanya:
"Sesungguhnya sesorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW bersabda, - Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia."
"Teruskan. Anak ini jangok." * Bahasa Kelantan: Suka pakai smart.
Saya senyum, menenang diri. Jam 3 petang, Jumaat 4 Julai, 2014 kami berpisah apabila sama sama keluar masjid.
* Jika anda rasa kisah ini boleh memberi iktibar kepada anda dan rakan-rakan anda yang lain, mohon tekan button LIKE di atas. Semoga kita dapat memanjangkan pencen kubur ini, Ameen..
SMS | WhatApp | Telegram 011 3862 7699
mjbelle.order@gmail.com
FB Page: Dd The Mompreneur
* Alhamdulillah, kami telah berpindah ke rumah baru dengan kejayaan jualan kumpulan 2 Juta pada tahun 2017. Anda dijemput melawat mjbelle.com untuk dapatkan Ebook Kisah Kejayaan kami secara PERCUMA!
Dapatkan segera sebelum link ini ditutup :)
No comments:
Post a Comment