Kisah Lelaki Tua Berkain Pelikat Siri 3 - #DdyTheMomPreneur #DdyTheMomPreneur: Kisah Lelaki Tua Berkain Pelikat Siri 3

13 Jul 2014

Kisah Lelaki Tua Berkain Pelikat Siri 3

Assalamualaikum,


Saya cari dia sepanjang bulan puasa. Selepas asar di tempat biasa. Dia tiada. Tidak ada lagi pada sudut tepi tiang di masjid.

Di mana dia? Apakah dia sakit? Atau pergi umrah.

Pagi tadi, dengan izin Allah jua saya temui dia. Tenang bersahaja. Kali ini berjubah. Selepas subuh dia ambil al Quran dan baca. Bacaan lancar dengan tajwid yang sedap didengar.

*Saya tidak boleh kata betul, kerana itu bukan bidang yang saya berpengetahuan.

Lama dia baca. 1 jam 26 minit. Lepas itu dia sambung solat, dari kejauhan saya perhatikan. 4 rakaat Dhuha





Dia berdoa panjang juga, memohon keampunan dan dipermudahkan kehidupan zuriat dan keturunan, diberi keamanan buat bumi yang tercinta. Selesai lelaki tua itu bersolat saya datang menghampiri dia.

Dia terlebih dahulu memberikan salam. Senyum mesra menyapa. Dia berkata, sebelum saya sempat bersuara.

"Selalu lepas Asar tiada di tempat biasa, Pak Cik keluar lihat-lihat juadah berbuka. Hidup ini kena nikmati jua. Apa yang boleh makan dan terasa mahu makan, belilah. Dihujung usia, adalah merasa nikmat yang Maha Esa. Itulah namanya nikmat yang tidak dapat kita dustakan.

Beli tanpa berkira. Ramai peniaga cari rezeki. Bahagi kepada jiran tetangga dan sanak saudara. Inilah waktu kita beramal dan merapatkan jalinan saudara. Jiran adalah saudara kita terdekat. Ia umpama tubuh badan kita."


Saya kata, "ramai orang mahu petua pak cik lagi". Dia pun tenang merenung panjang. Kata beliau: (saya notakan dalam bilangan)

21. Berusahalah untuk jadi orang kaya. Kaya tidak menambah sombong, besar, berlagak. Kita berharga di sisi Tuhan apabila kekayaan kita menambah manfaat pada orang. Kita mulia disisi Tuhan apabila miskin kita tidak menambah beban. Miskin tidak menyusahkan orang.

22. Sepanjang hidup kita bakal diuji. Ujian miskin. Ujian kaya. Orang yang tahan ujian itu umpama emas. Jatuh ke tanah ia emas. Letak dibadan, ia emas. Letak di kepala, ia emas.

Ujian datang dalam bentuk kesakitan, kerugian, kehinaan. Ujian juga boleh datang dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Berhati hatilah dengan ujian.


23. Anak mahu tahu apakah perkara yang menyebabkan malaikat rasa cemburu pada kita? Apabila kita beri madu tatakala kita diberi racun sebelumnya. Tanya saya, "maksudnya?" (saya pohon pencerahan).

Lelaki Tua itu berkata, apabila kita membalas kebaikan pada kejahatan orang. Tiada dendam melainkan rasa insaf diri mahu membawa kebaikan walaupun kita pernah dikhianati dan dikerjakan teruk oleh orang itu.

24. Pada detik ini dia menangis teresak esak. Kata beliau, "Pak Cik rindukan emak. Emak adalah himpunan khazanah kaya yang tidak ternilai harga. Pada teman teman anak, detik ini kembalilah kepada emak.

Buka puasa dengan emak dan ayah. Suapkan emak. Seluruh harta dunia yang kita miliki tiada kan sama dengan emak dan ayah."


25. Apabila emak dan ayah sudah tiada, bertimbang rasa pada keluarga. Pak Cik pernah dengar orang alim kata, orang yang paling sempurna imannya adalah orang baik budi, mulia pekerti.

Orang yang bertimbang rasa dan bertolak ansur pada keluarga. Jadi orang mulia anak. Mulia bukan mahsyur nama. Mulia bukan berkuasa. Mulia kita apabila akhlak terpelihara.

(Nota: Rasulullah SAW bersabda, "Aku diutus oleh Allah untuk menyempurnakan akhlak" (HR Ahmad) ).



Lama dia merenung saya. Pandangan beliau jauh dalam genangan air mata. Dia nyata menerobos masa sekarang pulang ke masa silam. Dalam hati saya berkata, orang tua memang begitu. Mudah pilu.



"Pak Cik boleh kaya jauh lebih kaya dari sekarang, andai halal haram Pak Cik letak ke belakang. Dulu dulu ramai orang mahu kerja kerajaan. Yang berniaga tidak ramai. Jadi, peluang untuk Pak Cik banyak. Malah Pak Cik pernah ditawar AP Kereta. Tapi semuanya Pak Cik tolak"



"Pak Cik senang berdagang cara buka kedai macam sekarang. Ada untung simpan. Cukup simpan labur. Beli bangunan. Alhamdulillah adalah sikit sikit. Namun petua hidup tenang, yang Pak Cik nak kongsi untuk teman teman anak adalah seperti ini"

26. Jaga maruah kawan kawan. Usah cerita keburukan orang lain. Apabila cerita itu tidak benar, jatuh pada fitnah. Apabila cerita itu benar, itu mengumpat namanya. Ghibah itu berdosa dan menambah gelap hati kita.


Pak Cik dengar ustaz mengajar atas masjid ini, apabila kita dengar saudara seagama diumpat dan kita tidak membelanya maka kita ikut tanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat.

Habis mengajar, Pak Cik dan kawan kawan bawa ustaz itu pergi makan. Tiba tiba ustaz itu bercakap pasal keaiban orang. Pak Cik bangun, bayar semua makanan dan pergi.

Pak Cik bukan orang sufi. Pak Cik tetap ambil ilmu dia, sebab mutiara tetap berharga walaupun penyelamnya orang hina. Pak Cik pergi, cuma mahu jaga hati sendiri, tidak mahu dinodai.

Apabila hati bersih, senyum kita nampak ikhlas dan bisnes kita jadi mudah. Cerminan hati terpancar di muka dan apa yang kita niaga jadi mudah belaka. Diterima dan pelanggan datang beli sokmo. (nota: sokmo adalah bahasa Kelantan yang membawa maksud berulang ulang)

27. Untuk bisnes maju, doakan kebaikan teman teman. Apabila kita doakan sahabat sahabat yang jauh, malaikat mendoakan kita pula. Bayangkan malaikat yang doakan kita. Berkat. Amalkan ini anak. Amalkan selalu.


Amalkan doakan untuk sekurang kurangnya 100 orang sahabat kita setiap hari. Amalan ini besar khasiatnya untuk hati kita jadi lembut dan bisnes kita berkembang.

28. Bertahajud. Bermunajat. Apabila kita tidur syaitan ikat kita dengan tiga ikatan. sebaik tersedar sebut nama Allah. Kemudian berwudhuk. Dan terus Tahajud. Lepaslah tiga ikatan syaitan. Tahajud adalah cara kita syukur pada Allah atas segala nikmat.

Anak tahu rumah Pak Cik paling besar di kawasan ini. Ia seakan cantuman 3 buah rumah banglo. Padahal Pak Cik hanya peniaga kecil berbanding dengan orang lain. 

Anak tahu semua yang tinggal kawasan ini orang bernama. Kenapa di hujung usia mereka tidak kaya? Ianya nikmat yang disyukuri. Nikmat apabila tidak didustakan lekat tidak tiris.

Sesiapa yang tahajud terus menerus ada 9 kurniaan. Lima kurniaan di dunia dan empat kurniaan di akhirat. Anak, bertahajud lah. InsyaAllah selamat.


Pantang besar orang tua dahulu dahulu untuk terus tidur apabila ayam telah mula berkokok pada hujung malam. Kita bangun dalam gelap mencerah hati menghadap Tuhan pemilik alam.

29. Anak, untuk berjaya dalam bisnes, kita mesti berhati hamba. Siang kita dambakan pada pelanggan. Mereka betul. Kita bukan salah, cuma kita mengalah. Mereka rasa serlahan jiwa kita dan mereka datang secara berulang ulang. Malam kita hamba merintih pada Pencipta.

Anak, ibadah, bukan sekadar rukuk dan sujud. Bukan sekadar gotel (baca:gentel) tasbih zikir dan tahmid. Ibadah juga bukan sekadar zakat dan sedekah.

Ibadah adalah hati yang ingat sokmo pada Allah. Hati yang tidak ingat Allah hati seorang Tuan. Seorang yang rasa diri "tuan pemilik" sukar untuk dapat nikmat berTuhan. Hanya belas kasihan Allah dapat jauhkan kita daripada segala bala bencana.

Anak, hari sudah tinggi. Pak Cik mahu balik. Sambil berjalan balik ke luar masjid, beliau memberikan petua terakhir untuk hari itu.

30. Bangun pagi. Tadi tahajud. Kemudian Subuh. Seboleh mungkin usah bangun dari sejadah sampai Dhuha. Baca Al Quran. Zikir. Lanjutkan sampai Dhuha. Beribadat pada Allah. Kemudian cari nafkah halal. Ia mendatangkan keberkatan rezeki.

Tatkala berpisah, dia membaca surah an Naba ayat 11, "Dan kami jadikan waktu siang untuk mencari penghidupan (rezeki)."

Doakan kami bertemu lagi.


* Jika anda rasa kisah ini boleh memberi iktibar kepada anda dan rakan-rakan anda yang lain, mohon tekan button LIKE di atas. Semoga kita dapat memanjangkan pencen kubur ini, Ameen..


SMS | WhatApp | Telegram 011 3862 7699
mjbelle.order@gmail.com

* Alhamdulillah, kami telah berpindah ke rumah baru dengan kejayaan jualan kumpulan 2 Juta pada tahun 2017. Anda dijemput melawat mjbelle.com untuk dapatkan Ebook Kisah Kejayaan kami secara PERCUMA!

Dapatkan segera sebelum link ini ditutup :)

No comments:

Post a Comment

Segala testimoni /penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman ini bukan bertujuan utk merawat, mencegah, mendiagnos apa jua penyakit. Pembaca digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan.
Sebarang pertanyaan dan khidmat nasihat, hubungi:

SMS |Whatsapp | Telegram 01138627699
Call: 09-744 6969
Email: mjbelle.web@gmail.com
Mary Jardin Kota Bharu Kelantan Branch Office
#DdyTheMomPreneur © . Designed by MaisarahSidi.com